Qiszan's Blog - ourLIFEstyles ourJOURNEY ourENJOY

Sukar berkomunikasi Bukan halangan Nuzaihan hasil kerja bermutu

Dari poskad, risalah sehinggalah tugas menghasilkan buletin, Nuzaihan Mustapa, tetap melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Minatnya yang mendalam dalam bidang seni reka grafik membuatkan anak jati Kuala Lumpur ini memilih jurusan Senireka Grafik dan Multimedia sebaik tamat belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Voksianl, Shah Alam.

Malah, graduan Unversiti Limkokwing yang juga pekak ini, sejak kecil lagi dia sudah mula menyimpan hasrat untuk menceburkan diri dalam bidang seni. Dia juga tidak menolak kemungkinan mendapat pengaruh yang besar daripada kedua ibu bapanya yang merupakan pelukis.

Lebih mesra dengan sapaan Zaihan, anak muda ini begitu tekun dalam menjalankan tugas-tugasnya. Komintmen yang ditunjukkan begitu tinggi sehinga dia sering dipuji oleh rakan sekerjanya. Maka, tidak hairanlah sekiranya dia diberi kepercayaan untuk menghasilkan sendiri reka letak dan rekaan untuk majalah Senikini, keluaran Balai Seni Visual Negara.
"Saya seronok bekerja di sini kerana suasana kerja yang begitu kondusif dan ditambah lagi dengan sokongan daripada rakan-rakan di sini. Mungkin disebabkan suasana kerja yang bagus membuatkan saya mendapat begitu banyak idea dan lebih kreatif," ujarnya.
Walaupun perlu berbahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan rakan sekerja yang lain, namun dia merasakan itu bukan masalah. Dia masih boleh berkomunikasi dan saling memahami antara satu sama lain.

Kerja hingga lewat malam

Bercerita lebih lanjut tentang dirinya, Zaihan yang mempunyai pengalaman hampir sepuluh tahun dalam bidang reka grafik ini berkata dia lebih senang melayari internet serta mencari idea melalui bahan bacaan. Katanya, dengan menjadikan aktiviti tersebut sebagai amalan, ia membantunya untuk berfikiran lebih luasan di samping dapat memberinya sedikit sebanyak idea untuk berkarya.

...Zaihan turut menasihati bahawa setiap individu perlu yakin dengan kebolehan diri sendiri. Cara itu, pasti segala cabaran dan dugaan dapat ditempuhi dengan mudah...


Biarpun pernah menjadi pelajar terbaik dalam bidang fotografi ketika menuntut di unversiti dahulu, ia tidak bermakna dirinya boleh terus berbangga dengan pencapaiannya. Dia percaya, setiap apa yang dicapainya perlu diiringi dengan usaha gigih yang berterusan. Justeru, itu Zaihan mahu sentiasa menambah ilmu dan pengalamannya dalam bidang yang diminatinya ini.
"Sebelum bekerja di sini, saya pernah bekerja di dalam bidang yang sama di Petaling Jaya pada 2007. Dua tahun baru-baru ini, barulah saya menjadi pereka di Balai Seni Visual Negara. Apa pun, sepanjang bekerja di syarikat sebelum ini, saya tak nafikan saya dapat begitu banyak pengalaman yang berharga," jelasnya yang turut mempunyai sijil rekaan dri Poster Jepun. Sambungnya lagi, tugas-tugas membuat reka letak pada majalah Senikini diberikan padanya seorang, untuk menyiapkannya. Bukan itu sahaja, dalam masa yang sama, terdapat dua hingga tiga projek yang perlu disiapkannya. Atas sebab itu, Zaihan tidak keberatan untuk bekerja sehingga lewat malam.
"Untuk menyiapkan reka letak Senikini, kadangkala saya memerlukan masa antara tiga hari hingga seminggu."
"Cuma kadang-kadang ada yang mengambil masa yang lebih panjang. Walau apapun, dengan kerjasama dan bantuan rakan-rakan yang terlibat, setakat ini semuanya berjalan dengan lancar."

Yakin dengan kebolehan diri

Melihat kesungguhan Zaihan, ternyata golongan OKU Pendengaran juga sama seperti golongan normal. Mereka juga punya cita-cita serta keazaman yang tinggi. Mereka inilah yang boleh dijadikan contoh kepada orang ramai, terutama golongan OKU yang lain bahawa masih ada peluang dan kejayaan yang menanti sekiranya mereka mahu berusaha gigih mencapainya. Zaihan turut menasihati bahawa setiap individu perlu yakin dengan kebolehan diri sendiri. Cara itu, pasti segala cabaran dan dugaan dapat ditempuhi dengan mudah.
Tak kurang juga, setiap ahli masyarakat juga perlu menunjukkan sokongan padu disekeliling mereka, tidak kira siapa pun mereka walaupun di kalangan mereka itu ada golongan OKU sepertinya. Persaingan positif dalam kerja menambahkan produktiviti dan semangat untuk sama-sama berjaya.



Sumber : Majalah Mingguan Wanita. Penulis : Khairun Nisa Ishak, Foto: Intan Idrina Mohammad Kusirry